EFI, KUMB meterai perjanjian usahasama tingkat hasil penternakan
SEREMBAN 17 April - Syarikat Eastana Farm Industries Sdn. Bhd. (EFI) memeterai satu perjanjian usaha sama dengan Koperasi Usahawan Melayu Berhad (KUMB) di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi meningkatkan hasil penternakan dan industri asas ternak di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif EFI, Syed Shareezally Syed Aualadali berkata, perjanjian usaha sama itu akan menguntungkan EFI dan KUMB kerana kedua-dua pihak boleh berkongsi kepakaran teknologi dan jaringan dagangan.
''Kedua-dua pihak optimis langkah ini akan membantu mengembangkan rangkaian perniagaan dan meluaskan pasaran produk EFI kerana KUMB memiliki jaringan dagangan yang besar.
''EFI pula akan memainkan peranan dengan menyumbang kepakaran, rangkaian perniagaan dan teknologi bagi menyokong misi KUMB untuk melahir dan membangun lebih ramai usahawan dalam bidang penternakan, pemprosesan daging serta hasil ternakan," kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.
Ujar Syed Shareezally, EFI merupakan sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh bumiputera yang sedang bergiat secara aktif dalam projek-projek pertanian dalam dan luar negara.
Jelasnya, EFI berkepakaran dalam mengusahakan projek penternakan, pemasaran dan pemprosesan hasil ternakan, terutamanya lembu dan telah bertapak di bandar ini melalui anak syarikatnya, Farm Fresh Industries.
''Di samping itu, EFI turut mengendalikan kedai runcit daging segar berkonsep butik dan memasarkan jenama 'Daging Segar' di bandar ini," kata beliau.
Tambah Syed Shareezally, melalui usaha sama ini, EFI dan KUMB melaksanakan program kerjasama pintar untuk mencapai sasaran penubuhan lebih 50 kedai butik Daging Sedar di seluruh negara tahun ini dan keutamaan akan diberikan kepada ahli-ahli KUMB.
Selain itu, kata beliau, EFI dan KUMB akan melancarkan Program Usahawan Terpilih dan Sistem Perladangan Kontrak Ternakan Fidlot di mana pengusaha-pengusaha yang terpilih akan menternak lembu melalui sistem pawah.
Jelas beliau, usaha itu juga bertujuan untuk menampung permintaan pasaran yang tinggi terhadap daging lembu sekali gus membekalkan keperluan kepada rangkaian butik Daging Segar dengan anggaran keperluan purata 5,000 ekor setiap bulan.
''Kita semua maklum permintaan terhadap daging lembu di pasaran melebihi daripada bekalan dan diharap inisiatif ini dapat menyeimbangkan suasana pasaran," tambah beliau.
Sehubungan itu, Syed Shareezally berharap usaha sama strategik EFI dan KUMB ini akan membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap daging import yang nilainya mencecah berbilion ringgit setiap tahun.
Rujukan sila Klik di bawah ini: http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0418&pub=utusan_malaysia&sec=selatan&pg=ws_03.htm&arc=hive
Eastana Farm, KUMB jalin kerjasama
EASTANA Farm Industries Sdn Bhd, syarikat yang bergiat aktif dalam perniagaan pertanian, akan bekerjasama dengan Koperasi Usahawan Malaysia Bhd (KUMB) bagi meningkatkan bilangan usahawan dalam sektor penternakan.
Perjanjian bagi usaha sama berkenaan dimeterai kedua-duanya baru-baru ini.
Di bawah perjanjian itu, Eastana Farm dan KUMB akan berkongsi kepakaran teknologi dan jaringan dagangan bagi mengembangkan perniagaan dan merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan sektor pertanian sebagai perniagaan lumayan.
EFI mengusahakan projek penternakan, pemasaran dan pemprosesan hasil ternakan, khususnya lembu serta mengendalikan kedai runcit daging segar menggunakan jenama `Daging Segar' melalui anak syarikatnya, Farm Fresh Industries di Seremban.
Ketua Eksekutif Eastana Farm, Syed Shareezally Syed Aualadali, berkata usaha sama itu bakal mewujudkan situasi menang-menang kerana KUMB mempunyai jaringan dagangan luas, sekali gus membantu Eastana Farm menembusi pasaran lebih besar.
"Kami pula akan menyalurkan semua kepakaran, rangkaian perniagaan dan teknologi untuk menjayakan hasrat KUMB membangunkan lebih ramai usahawan dalam bidang penternakan, pemprosesan daging serta hasil ternakan," katanya ketika ditemui di Seremban.
Antara inisiatif di bawah usaha sama itu, katanya, ialah mewujudkan program kerjasama pintar bagi menyokong sasaran penubuhan lebih 50 kedai Daging Segar di seluruh negara tahun ini dengan keutamaan penyertaan kepada ahli koperasi berkenaan.
Beliau berkata, KUMB dan Eastana Farm juga akan melancarkan Program Usahawan Ternakan (PUT) dan Sistem Perladangan Kontrak Ternakan Feedlot yang membabitkan pelantikan pengusaha terpilih untuk menternak lembu secara sistem pawah.
"Langkah ini bagi memenuhi permintaan pasaran yang tinggi terhadap daging lembu, sedangkan bekalan sedia ada jauh daripada mencukupi. Lembu yang diternak melalui sistem ini juga untuk bekalan kepada rangkai kedai Daging Segar yang disasar dibuka dengan anggaran keperluan purata 5,000 ekor sebulan," katanya.
Syed Shareezally berkata, gabungan KUMB dengan Eastana Farm dan Farm Fresh Industries adalah usaha sama strategik bagi menampung keperluan daging mentah di negara ini dan mengurangkan pergantungan kepada daging import yang mencecah nilai berbilion ringgit setiap tahun.
Katanya, potensi industri penternakan lembu amat tinggi kerana bekalan daging sedia ada tidak mampu menampung permintaan, menyebabkan syarikat berkenaan turut mengusahakan sistem perladangan kontrak di beberapa negara luar.
Rujukan sila klik di bawah ini:
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Monday/Ekonomi/20080427223402/Article/
Tekno Tani: Dua rakan gigih ternak lembu komersial
Oleh Ahmad Naim Tahir
POTENSI sektor penternakan lembu yang tinggi mendorong ramai menceburinya, ditambah pula pelbagai insentif disediakan kerajaan dalam bidang berkenaan untuk memenuhi permintaan terhadap daging dalam negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada produk import.
Peluang itu turut direbut dua belia di Negeri Sembilan, Syed Shareezally Syed Aualadali dan rakannya, A Halim A Rahman yang tidak mengendahkan semua tanggapan negatif dikaitkan dengan sektor pertanian.
Mereka berdua bertekad meninggalkan pekerjaan bergaji lumayan untuk mengusahakan projek penternakan lembu secara fidlot.
Bukan saja menternak, mereka yang pernah bekerja makan gaji dengan organisasi ternama juga melakukan pemasaran sendiri daging proses melalui kedai konsep butik dinamakan 'Daging Segar' beroperasi di Taman Komersial Senawang, sejak Jun tahun lalu yang turut menjual pelbagai produk sejuk beku berasaskan daging.
Kedai berkonsep moden yang berhawa dingin, bersih dan selesa dengan konsep penjualan daging yang jarang dilihat di negara ini, kian mendapat sambutan bukan saja di kalangan penduduk sekitar Seremban, malah luar, termasuk Kuala Lumpur.
Mereka yang berkongsi usia 36 tahun menggunakan modal sendiri memulakan projek penternakan komersial lebih setahun lalu dengan memajak tanah terbiar penduduk kampung di Seri Menanti, Kuala Pilah untuk membuka ladang ternakan.
Rujukan sila klik di bawah ini :
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Rencana/20080424234544/Article/